....ta a'limul a'nil islam....

....ta a'limul a'nil islam....
usroti jannati...

Monday, February 1, 2010

MUS'AB BIN UMAIR(sejarah namaku)

Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata:Kami sedang duduk bersama Rasulullah saw di dalam masjid. Tiba tiba datang Musab bin Umair ra, dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah sa melihat kepadanya, baginda menangis dan menitis air mata kerana mengenangkan kemewahan Musab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Musab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah).



Kemudian Nabi Muhammad saw bersabda:Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula, dan bila diangkatkan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain, dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?Maka jawab sahabat:Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki.Lalu Nabi saw bersabda:Tidak, keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu.(Hadis riwayat Turmizi)



KISAH MUSAB BIN UMAIR



Musab bin Umair asalnya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kaya-raya di Kota Mekah. Dia sangat disayangi oleh kedua orang ibubapanya. Hidupnya senang-lenang dan serba mewah.

Dikatakan kononnya Musab bin Umair ialah pemuda yang paling bergaya di Kota Mekah. Pakaiannya ada yang berharga sampai dua ratus dirham, satu nilai yang sangat tinggi pada zaman itu untuk sehelai pakaian.



Memang dari awal lagi Musab telah memeluk agama Islam tetapi disembunyikan keIslamannya daripada kedua orang tuanya. Namun hal tersebut akhirnya sampai juga ke telinga mereka. Mereka pun mengikat Musab dengan tali agar dia tidak boleh keluar rumah. Musab berjaya melepaskan diri lalu berpindah ke Abbysinia. Seterusnya dia berhijrah pula ke Madinah untuk bersama-sama kekasihnya- Rasulullah SAW.



Suatu hari, Musab melintas di hadapan Rasulullah. Ketika itu dia hanya memakai sehelai kain sahaja dan kainnya itu bertampal-tampal. Dengan perasaan yang amat sedih disertai linangan air mata, Rasulullah menceritakan kembali bagaimana kehidupan Musab sebelum Islam yang serba mewah. Namun kini Musab hanya ada sehelai kain buruk untuk dipakainya.



Dalam peperangan Uhud, Musab berperanan sebagai pemegang bendera tentera Islam. Suatu ketika tentera Islam terpukul hebat dan ada sebilangannya yang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Dalam keadaan segenting itu, Musab terus berdiri kukuh di tempatnya sambil memegang bendera. Sedikit pun tidak ada rasa gentar dalam hatinya.Seorang musuh telah menetak tangan Musab yang memegang bendera agar bendera tentera Islam tidak berkibar lagi. Musab mengambil balik bendera itu dengan tangannya yang sebelah lagi. Kali ini tangan itu pula yang ditetak musuh. Dia terus berusaha memegang bendera di dadanya dengan bantuan kedua belah tangan yang berlumuran darah. Akhirnya, dada Musab ditembusi pula anak panah menyebabkan dia rebah ke bumi. Musab pun gugur sebagai seorang syuhada.



Di saat-saat pengkebumiannya, Musab hanya ada sehelai kain sebagai penutup jasad. Itupun kain itu terlalu kecil. Jika ditarik untuk menutup kepalanya, kakinya akan terdedah. Kalau ditarik menutup kakinya pula, kepalanya akan terdedah. Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menutup kepala Musab dengan kain tersebut sementara bahagian kakinya ditutup dengan daun-daun azkhar.Begitulah sedihnya riwayat seorang pemuda yang dibesarkan dalam kehidupan serba mewah tetapi matinya dalam keadaan yang amat dhaif. Jika dulu dia ada pakaian yang berharga dua ratus dirham, tapi kini mayatnya ditutup dengan sehelai kain kecil sahaja. Sesungguhnya Musab telah berjaya.

3 comments:

  1. ana pernah bce kisah ni..
    semoga iman anta sekuat iman beliau.

    ReplyDelete
  2. insyaallah...
    semoga sirah ini mejadi iktibar dan pedoman untuk kita untuk memperjuangkan agama allah..

    ReplyDelete
  3. semoga ditetapkan iman... amin ya R0b...

    ReplyDelete